Isnin, 21 Oktober 2013

Rawatan Dan Pencegahan Batu Karang

Rawatan

Jika wujud gejala batu karang, segera berjumpa doktor. Doktor akan menjalankan ujian darah dan air kencing, sinaran X, ultrasound dan CT scan.

Pesakit yang mempunyai batu karang kecil digalakkan supaya meminum banyak air. Ubat tahan sakit juga akan diberi sekiranya pesakit mengalami kesakitan.

Doktor juga mungkin memberi ubat yang membantu merapuh dan meleburkan batu karang yang akhirnya akan keluar melalui air kencing.

Ada juga ubat membantu mengeluarkan batu karang dalam saluran buah pinggang dengan lebih cepat. Ubat sebegini melonggarkan saluran ureter dan menyebabkan batu karang jatuh ke pundi kencing, seterusnya keluar bersama air kencing.


Kaedah memecahkan batu karang di buah pinggang, saluran buah pinggang dan pundi kencing:

1) Extracorporeal Kejutan Gelombang Lithotripsy (ESWL)


• kaedah pemecahan batu karang terbentuk dalam buah pinggang dan saluran buah pinggang tanpa membabitkan pembedahan

• membabitkan tembakan gelombang yang menghancurkan batu karang

• kaedah ini memakan masa kira-kira satu jam dan batu karang yang hancur keluar menerusi air kencing

• sesuai untuk batu karang kecil yang boleh dikesan sinaran X

• pesakit tidak perlu dibius seluruh atau separuh badan

• rawatan pesakit luar


2) Nefrolitotomi Perkutaneus (PCNL)

• pembedahan untuk membuang batu karang besar di buah pinggang

• tebukan menembusi buah pinggang dan batu karang akan dipecahkan menggunakan tenaga ultrasound


3) Litotripsi Ureteroskopi (URS)

• pembedahan untuk membuang batu karang di saluran buah pinggang

• kaedah ini menggunakan skop yang dimasukkan melalui saluran kencing dan naik ke saluran buah pinggang

• batu karang tersangkut di saluran buah pinggang akan dipecahkan menggunakan cara pneumatik atau laser melalui skop


4) Vesikolitotripsi

• ini pembedahan untuk memecahkan batu di pundi kencing

• kaedah ini membabitkan skop yang membawa punca tenaga yang boleh memecahkan batu


Pencegahan/panduan

• banyakkan minum air

• kurangkan makanan yang boleh menyebabkan pembentukan batu karang

• elakkan mengambil vitamin C melebihi empat gram (g) sehari kerana ia membawa risiko pembentukan batu karang

• protein haiwan tidak patut dimakan secara berlebihan kerana protein ini banyak menyebabkan kejadian batu karang. Jumlah maksimum protein haiwan yang disyorkan untuk pemakanan kira-kira 150g/sehari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan